IPOH, 4 MEI – Geng Dobi Tiguan yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri duit di kedai dobi layan diri dan pecah rumah di sekitar Ipoh tumpas apabila tiga suspek berjaya diberkas polis pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihak polis menerima sembilan kes melibatkan kecurian duit di kedai dobi layan diri di sekitar Tambun, Ampang Baru, Simpang Pulai dan Kampung Rapat pada 10 hingga 24 April lalu.

Menurutnya, bertindak atas risikan dan maklumat yang diperoleh, pada 25 April, sepasukan anggota Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berjaya menahan tiga suspek di Bercham dan Tambun.

“Tangkapan pertama adalah seorang lelaki berusia 25 tahun merupakan seorang tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dari Selangor yang sedang menjalani hukuman di kawasan Bercham sejak 4 Mac 2020.

“Suspek ini juga mempunyai 29 rekod lampau pelbagai kesalahan. Kita percaya suspek menggunakan kepakarannya untuk merekrut ahli yang lain menjalankan kerja-kerja jenayah ini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Ipoh di sini pada Selasa.

A Asmadi berkata, dua lagi suspek masing-masing berusia 21 dan 26 tahun yang ditahan turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah.


Menurutnya, dari segi modus operandi, suspek akan menyewa kereta jenis Volkswagen Tiguan dengan menggunakan identiti palsu dan mencari sasaran seperti rumah inap desa, kedai dan kedai dobi layan diri.

Dalam pada itu, beliau berkata, tangkapan ketiga-tiga mereka juga turut membawa kepada penemuan beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan jenayah tersebut seperti pemotong besi, gerudi, sepana dan sebagainya.

Katanya, selain itu, pihak boleh turut menemui beberapa barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, tiga kad pengenalan dan buku simpanan bank yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dilakukan.

“Barang-barang yang ditemui ini hasil soal siasat yang kita buat terhadap suspek, bagaimanapun wang syiling yang dicuri dari kedai dobi layan diri tidak ditemui dan dipercayai sudah dilupuskan.

“Mereka juga mengaku telah melakukan 16 kes pecah rumah di sekitar Ipoh dan satu kes di Kuala Kangsar. Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM50,000,” katanya.

Sementara itu, A Asmadi berkata, pihak polis kini sedang giat mencari seorang lagi suspek masih bebas berdasarkan maklumat diberikan ketiga-tiga suspek yang sedang direman.

Katanya, sehubungan itu, pihak polis meminta seorang lelaki dikenali sebagai R Devindren Dass, 25, tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – Sinar Harian