AYER KEROH, 13 OKT : Polis Melaka merampas kenderaan rasmi yang digunakan bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee susulan keengganannya memulangkan aset kerajaan negeri berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan itu dibuat semalam di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak di sini, yang dipercayai disewa oleh Exco berkenaan sekitar pukul 11.20 pagi.

Kereta jenis Toyota Camry bewarna hitam itu dirampas selepas laporan polis dibuat oleh seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri sebelum pihak polis mendapatkan waran geledah oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

“Bertindak atas waran geledah yang dikeluarkan oleh mahkamah, sepasukan pegawai dan anggota polis telah merampas kereta bernombor pendaftaran MAL 3 di aras tiga sebuah kondominium berkenaan.

“Pihak polis turut merampas satu anak kunci kereta, kad touch and go dan kad minyak daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu rasmi kepada beliau yang hadir menyaksikan rampasan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Norhizam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu bertegas enggan memulangkan aset kerajaan negeri meskipun sudah melepaskan jawatan Exco pada hujung bulan lalu.

Tegas beliau, pemulangan aset-aset berkenaan hanya akan dibuat sekiranya semua Exco dan 28 ADUN negeri berkenaan melakukan perkara sama memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan.

Mengulas lanjut ujar Abdul Majid, sehingga kini seramai lima saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Pihaknya juga akan merakam keterangan Norhizam dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

“Kita minta Exco itu datang, namun hanya pemandunya yang menyerahkan kunci dan serahan itu dibuat secara harmoni.“Setakat ini lima saksi telah dipanggil dan bekas ADUN ini akan kita rakam percakapannya dalam masaterdekat ini juga,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. – AWANI