KUALA LUMPUR, 11 OKT : Pelakon Syafie Naswip kecewa apabila namanya terkena tempias berikutan kes penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak, semalam.

Menurut Syafie atau nama sebenarnya Mohd Shafie Naswip, dia menerima banyak pertanyaan daripada rakan-rakan serta peminat yang ingin mengetahui kesahihan perkara tersebut.

Tampil menafikan dakwaan tersebut menerusi sebuah hantaran di Instagram hari ini, Syafie menjelaskan bahawa individu terbabit bukanlah dirinya.

“Salam semua. Ramai yang DM tanya adakah individu itu adalah saya sementelah saya kini menjalani penggambaran di Kuala Kangsar baru-baru ini.

“Jawapannya tidak. Ada beberapa produksi drama lain yang turut menjalani penggambaran di sana,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Kamar Kamariah turut berdoa agar dirinya tidak lagi terpalit dengan fitnah seperti itu.

“Moga dijauhkan daripada fitnah seperti ini lagi,” tulisnya.

Difahamkan, Syafie sedang menjalani penggambaran drama Hidayah Ustaz Viral di Kuala Kangsar yang turut dibintangi oleh Alya Iman, Syafi Tee dan Fauziah Nawi.

Semalam, beberapa portal melaporkan pelakon lelaki berusia 29 tahun, pengarah dan penolong pengarah ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, pelakon dan pengarah tersebut positif dadah jenis THC atau Tetra Hydrocannibol.

Manakala, penolong pengarah pula didapati positif dadah jenis AMP dan methamphetamine.

Kesemua mereka berada di dalam bilik berasingan ketika serbuan dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN