IPOH, 23 Mac- Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) muncul antara syarikat perladangan terawal yang menggunakan tiga aplikasi digital, dalam usaha mengorak langkah ke arah perladangan digital.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, tiga aplikasi itu ialah My Maps, Google Earth dan 3D Mapper.

Ujarnya lagi, penggunaan aplikasi tersebut berupaya membantu di dalam membuat keputusan bagi meningkatkan hasil ladang kelapa sawit.

“PPPNP hari ini telah mengadakan satu sesi bengkel perladangan digital yang bertempat di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.

“Bengkel ini dihadiri oleh 43 orang yang dibarisi daripada Pengurus Kanan, Pengurus dan Penolong Pengurus Ladang.

“Dengan keadaan harga sawit semasa yang tinggi berbanding sebelum ini, amat wajarlah bengkel dan kursus seperti ini diadakan kepada pengurusan untuk menambah baik produktiviti dan keberkesanan ladang di dalam pengurusan hasil.

“Sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, PPPNP tidak mampu membiarkan ketirisan hasil terus berlaku dengan keadaan harga yang sangat baik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga ahli Lembaga Pengarah PPPNP berkata, dengan peningkatan hasil itu, rakyat Perak akan mendapat manfaat menerusi program seperti Ladang Untuk Rakyat dan Ladang Rakyat.

“Harapan saya pada tahun ini PPPNP mampu meningkatkan pendapatan dan keberhasilan ladang sawit, serta memastikan dividen dan sumbangan PPPNP kepada Kerajaan Negeri dan rakyat dapat dipertingkatkan,” katanya.

PPPNP memiliki Ladang Kelapa Sawit seluas 18,093.31 hektar dan Ladang Getah seluas 2,349.90 hektar.

Difahamkan pada tahun 2020, PPPNP telah merekodkan peningkatan hasil sawit sebanyak 4 peratus dengan jumlah 171,256 metrik tan berbanding tahun 2019 iaitu 164,553 metrik tan.