IPOH, 16 MAC : Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya kini sedang merangka strategi untuk menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar di semua negeri.

Ujarnya, penyediaan PPV yang lebih besar itu dicadang untuk program vaksinasi fasa ketiga yang melibatkan lebih ramai penerima vaksin.

“Semua negeri kita tawarkan (PPV lebih besar), saya sedang merangka strategi dan menyediakan peruntukan.

“Sebab arahan daripada YAB Perdana Menteri, kita selesai (vaksinasi) pada tahun ini juga. Tak mahu pergi sampai tahun depan.

“Jadi, ini akan memerlukan PPV dalam skala besar, ini (PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh) dalam kategori 6.

“Di Kuala Lumpur contohnya kita sedang melihat PPV yang mungkin boleh selesaikan sampai 8,000 (penerima vaksin) setiap hari, itu PPV yang terbesar kita cadang di Bukit Jalil,” katanya.

Belia berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia Ipoh, di sini pada Selasa.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Dalam pada itu, katanya Perak merupakan negeri kedua paling tinggi vaksinasi, selepas Selangor.

Jelasnya, ia disebabkan faktor perancangan yang teliti dan baik, selain kadar vaksinasi yang agak tinggi dalam kalangan pemberi vaksin di negeri ini.

“Kalau kita lihat, ini PPV yang besar di negeri Perak setakat ini, ada 12 tempat untuk diberi suntikan.

“PPV ini (Stadium Indera Mulia) juga merupakan tempat atau daerah paling tinggi vaksinasi di seluruh negeri, tahniah untuk mereka yang berkenaan,” katanya.