IPOH, 14 Julai – Menteri Besar Perak menjelaskan penutupan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini bukanlah bersifat kekal sebaliknya hanya sementara.

Datuk Saarani Mohamad berkata malah ianya bukan bermakna bekalan vaksin COVID-19 yang diterima di negeri ini tidak mencukupi.

Jelas beliau penutupan beberapa PPV berkenaan sebagai memberi ruang kepada para petugas untuk berehat agar terus bermotivasi dalam melaksanakan tugas vaksinasi di negeri ini.

“Kalau ada PPV ditutup ia bukan kerana kita kekurangan vaksin. Sebaliknya kita hendak memberi ruang untuk para petugas di situ berehat. Dan pada waktu sama mereka akan sentiasa ada motivasi serta momentum untuk meneruskan tugas itu.

“Kerja-kerja vaksinasi ini masih panjang masanya. Oleh kerana itu, ada sebahagiannya kita tutup. Akan tetapi bukan tutup terus. Berkenaan bekalan vaksin di Perak ianya masih mencukupi,” katanya dalam sidang media secara maya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respons timbul dakwaan beberapa PPV yang ditutup di negeri ini kononnya ekoran kekurangan bekalan vaksin COVID-19.

Sementara itu Menteri Besar memberitahu kerajaan negeri sedang berusaha untuk menambah bilangan penerima vaksin COVID-19 di Perak kepada 40 peratus.

“Sehingga Ahad lepas, jumlah vaksinasi dos pertama di Perak adalah seramai 485,403 iaitu 19.3 peratus daripada jumlah penduduk. Manakala dos kedua pula melibatkan seramai 270,092 orang atau 10.8 peratus,” katanya.

Jelas beliau sehingga semalam, seramai 508,667 individu atau 27.31 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

Ujar Saarani sementara seramai 282,729 individu atau 15.18 peratus telah selesai menerima suntikan dos kedua dalam tempoh sama.

Sebelum ini dilaporkan Perak dijangka memasuki fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 (PICK) susulan sebanyak 688,000 dos bekalan vaksin baharu dijadual akan diterima bulan ini.

Mengulas lanjut, Saarani yakin sekiranya bekalan vaksin berkenaan sampai maka kerajaan negeri mampu menambah bilangan penerima vaksin seperti mana yang dijaduakan.