IPOH, 10 Jun – Pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia dekat sini bermula hari ini bukan sahaja memudahkan urusan pemberian vaksin bahkan ia memendekkan tempoh masa suntikan vaksin COVID-19.

Jika pada kebiasaannya penerima vaksin harus menghabiskan sebahagian masa mereka untuk mendapatkan parkir kenderaan selain menunggu giliran untuk disuntik.

Namun inisiatif PPV pandu lalu itu memberi keselesaan kepada penerima yang mana mereka hanya perlu berada di dalam kenderaan sepanjang proses pemberian dos kedua vaksin COVID-19.

Raisul Amir Ahmad Shabuddin, 27, yang datang bersama ibunya, Alizah Ayob 57 serta adik Ainul Wardah Ahmad Shabuddin, 23, menjadi penerima vaksin pertama terawal tiba di salah satu antara dua stesen PPV pandu lalu di Stadium Indera Mulia pada sekitar jam 8.40 pagi.

Menurut Raisul Amir, mereka sekeluarga menerima suntikan vaksin selepas disenarai pendek oleh Tabung Haji sebagai persediaan awal sekiranya kerajaan ada menghantar rakyat Malaysia untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

“Semalam ada pegawai kesihatan memaklumkan kami untuk bertanyakan sama ada setuju atau tidak untuk menerima vaksin dos kedua ini di kaunter pandu lalu. Kami nyatakan setuju.

“Selepas melalui proses vaksinasi secara pandu lalu pada hari ini, ianya sangat cepat dan lebih efisien. Jika sebelum ini kami perlu menunggu hampir tiga jam untuk suntikan dos pertama.

“Namun kali ini hanya datang untuk saringan, kemudian terus pandu ke kaunter untuk mendapatkan vaksin tanpa perlu keluar daripada kenderaan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV pandu lalu di Stadium Indera Mulia dekat sini, pada Khamis.

Perasaan sama turut dikongsi Rizaida Ahmad, 43, yang juga mengambil vaksin dos kedua sebagai persiapan mengerjakan ibadah haji.

“Inisiatif ini lebih baik berbanding di PPV seperti biasa. Tak perlu menunggu lama terutama kepada warga emas. Kerana jika di dalam kita bimbang tersentuh individu lain (dan dikhuatiri ada penularan COVID-19),” jelasnya.

Sementara seorang penerima vaksin COVID-19 warga emas, Noriah Abdullah, 67 berkata inisiatif kerajaan negeri itu nyata memberi keselesaan buatnya.

“PPV pandu lalu ni mudah dan selesa. Kalau sebelum ini kami perlu tunggu sampai satu jam setengah , baru boleh selesai cucuk vaksin. Namun di PPV pandu lalu ni tak sampai 10 minit sudah cucuk vaksin,” ujarnya.

Pada masa sama Liow Kim Seong, 84, berkata dia turut menyambut baik inisiatif PPV pandu lalu yang diwujudkan kerajaan negeri di sini.

“Sebelum ini saya terpaksa menunggu sekitar setengah jam untuk mendapatkan vaksin COVID-19 tetapi kali ini ianya rasa senang dan cepat. Tidak perlu tunggu lama,” katanya lagi.

Terdahulu Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad meninjau operasi PPV pandu lalu di Stadium Indera Mulia yang mula dibuka hari ini.