KUALA LUMPUR, 17 Mei: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa dipercayai menjadi ‘kecoh’ hari ini berikutan kekurangan fasiliti untuk memastikan kelancaran operasi di pusat tersebut.

Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai yang tiba di PPV terbabit tidak diberi maklumat yang sewajarnya termasuk berdepan dengan masa menunggu hampir satu jam daripada waktu janji temu yang diberikan.

Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI turut mendapati PPV yang berkapasiti memberi suntikan purata 1,600 itu hanya menyediakan dua buah khemah menunggu.

Selain itu faktor kekurangan tempat meletak kereta dan laluan yang sempit, antara faktor lain yang mencetus kesesakan di PPV yang menjadi pusat vaksinasi kepada golongan emas bagi fasa kedua itu adalah apabila kebanyakkan daripada mereka membawa seorang peneman.

Pun begitu, keadaan di dalam stadium itu bagaimanapun terkawal dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Seperkara yang mungkin merumitkan adalah posisi kerusi seperti di stadium yang menyukarkan penerima vaksin yang kebanyakkannya adalah warga emas serta berkerusi roda untuk naik dan duduk.

Ekoran itu, petugas PPV itu terpaksa mengatur sebilangan kerusi di perkarangan stadium yang juga ‘memakan’ ruang stadium terbabit.

Seorang petugas yang enggan mendedahkan namanya mengakui mereka berdepan dengan masalah kekurangan petugas yang menyukarkan perjalanan PPV itu.

“Kita kena faham, ini PPV dos kedua Pfizer melibatkan warga emas dan sesi konsultasi akan mengambil sedikit masa berbanding golongan muda.

Saya faham petugas di luar stadium juga kurang.

Ini (bilangan) yang kami dapat,” katanya di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan di sini memohon maaf kepada mereka yang terkesan dan akan menambah baik perkhidmatan.

Justeru kata kenyataan itu, akan menambah bilangan khemah menunggu empat unit yang mampu memuatkan 500 kerusi secepat mungkin.”

Kesesakan itu terjadi kerana laluan kenderaan masuk ke kawasan tersebut yang agak kecil selain bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu bagi mendapatkan vaksin juga agak terhad,” katanya.

Katanya, keadaan itu bertambah buruk apabila hujan dan kenderaan yang menghantar para penerima vaksin tersebut berebut menghentikan kenderaan mereka berdekatan dengan pintu masuk. – Awani