IPOH, 13 Oct- Majlis akad nikah di negeri ini boleh dilaksanakan di premis swasta, Pejabat Agama Islam dan Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi surat pekeliling di laman Facebook berkata majlis akad nikah itu bersesuaian dengan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dan berkuat kuasa mulai hari ini.

Antara prosedur kerja majlis akad nikah itu ialah boleh dilaksanakan di tempat seperti premis swasta (dewan serbaguna, hotel dan homestay).

Selain itu ia turut dilaksanakan di Pejabat Agama Islam di seluruh Perak dan Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

“Jumlah kehadiran majlis akad nikah tidak melebihi 50 peratus kapasiti keluasan premis tersebut.

“Tempoh masa setiap majlis akad nikah tidak melebihi 1 jam 30 minit, sebarang penyediaan jamuan makan dalam majlis akad nikah tidak dibenarkan dan penyediaan makanan adalah secara bungkusan,” katanya.

Jelas surat itu lagi, ia termasuk pematuhan sepenuhnya semua protokol kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis.

“Mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka sepanjang masa upacara pernikahan berlangsung dan kerap membasuh tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman,” ujarnya.

Selain itu, sebarang kehadiran dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), person under surveillance (PUS), individu dalam perintah kuarantin serta memiliki gejala adalah tidak dibenarkan.