LENGGONG, 24 Sept – Program vaksinasi Covid-19 di Perak semakin kurang mendapat sambutan sejak kebelakangan ini dan terdapat beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) semakin lengang.

Jumlah harian yang mendapatkan suntikan vaksin ketika ini hanya sekitar 20,000, berbanding bilangan yang pernah dicatatkan lebih 30,000 sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kekurangan itu mungkin disebabkan anggaran Jabatan Perangkaan mengenai bilangan penduduk negeri itu jauh lebih besar daripada jumlah sebenar.

“Ada sebahagian yang kita kesan, dia orang Perak tetapi dia ambil vaksin di Selangor, Kuala Lumpur atau Pulau Pinang, jadi apabila kita panggil, tak adalah.

“Kita membuat persiapan sewajarnya berasaskan kepada statistik awal oleh Jabatan Perangkaan mengatakan sekian ramai rakyat Perak yang perlu divaksin, jadi kita menyediakan PPV berasaskan kepada angka itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian bantuan one off kepada penjaja kecil dan bantuan kotak makanan di Dewan Serbaguna Kota Tampan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membuat penilaian semula kerana ia sedikit sebanyak mengganggu petugas perubatan di PPV yang mempunyai tugas hakiki di hospital atau klinik.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan memberi tempoh sehingga 31 Oktober untuk orang ramai mendapatkan vaksin sebelum PPV ditutup.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu saat-saat akhir sebelum tarikh itu untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka.