LENGGONG, 27 Feb – Kerja baik pulih masjid dan surau di daerah Hulu Perak menerusi Projek Jiwa Murni memberi penjimatan sekitar 50 peratus daripada kos sebenar yang perlu ditanggung kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata inisiatif yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Tentera Darat Ke-88 itu membabitkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kerajaan negeri.

Katanya kerajaan negeri memperuntukkan dana berjumlah RM218,000 bagi kos penyediaan bahan asas seperti simen dan bata sementara 43 anggota ATM terlibat bagi kerja-kerja baik pulih itu.

Jelas beliau Projek Jiwa Murni membabitkan dua buah surau iaitu Surau Islahiyah Pekan Lenggong, dan Surau Lata Papan serta dua masjid (Masjid Tanjung Rambai dan Masjid Tanjung Kalah).

“Projek ini memang jimatkan kos kerajaan negeri yang mana jika diberikan kepada kontraktor biasa, kerja-kerja baik pulih sama dengan harga barang.

“Jika harga barang RM200,000, maknanya kos upah berharga RM200,000. Jadi melalui projek ini kita berjaya menjimatkan separuh daripada itu. Kerajaan negeri hanya menyediakan barang-barang keperluan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Projek Jiwa Murni Negeri Perak di Surau Islahiyah Pekan Lenggong, di sini pada Sabtu. Hadir sama, Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib

Sementara itu Menteri Besar berkata keempat-keempat projek tersebut dijangka dapat disiapkan dalam tempoh seminggu lagi.

“Saya sangat berpuas hati dengan cara kerja yang dibuat, anggota tentera kita sangat berkemahiran boleh melakukan pendawaian elektrik, menukang kayu, plaster simen sebagainya.

“Kerajaan negeri berterima kasih atas inisiatif yang dilakukan ini dan kesungguhan anggota dalam melaksanakan amanah diberikan,” katanya.