PETALING JAYA, 24 JUN : Chatime memperkenalkan promosi beli satu percuma satu bagi mana-mana rakyat Malaysia yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi kempen ‘Lindungi Diri Dapatkan Chatime’ sehingga 15 Julai ini.

Justeru, mana-mana yang ingin berbuat demikian hanya perlu menunjukkan pendaftaran vaksinasi MySejahtera kepada kakitangan cawangan Chatime di seluruh negara dan automatik layak untuk menebus minuman percuma dengan setiap minuman yang dibeli.

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, pihaknya ingin membantu meningkatkan kesedaran dan menyokong agenda vaksin nasional dengan memberi peluang kepada sesiapa sudah mendaftar vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

“Inisiatif ‘Lindungi Diri Dapatkan Chatime’ ini diharap dapat mendorong rakyat Malaysia untuk mendaftar dan mendapatkan vaksinasi Covid-19 melalui promosi Chatime ini.

“Apa yang anda perlu lakukan adalah hanya tunjukkan pendaftaran vaksinasi MySejahtera kepada kakitangan cawangan Chatime di seluruh negara dan secara automatik anda layak untuk menebus minuman percuma dengan setiap minuman yang dibeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, sebagai menghargai usaha dan pengorbanan petugas barisan hadapan, Chatime telah mengagihkan 700 minuman untuk barisan hadapan yang bertugas di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia, Widayu Latiff berkata, pihaknya memahami bahawa syarikat memainkan peranan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Inisiatif terbaru ‘Lindungi Diri Dapatkan Chatime’ ini merangkumi objektif ‘Communi-Tea’ ini. Kami gembira kerana sekurang-kurangnya mampu membuat para barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang tersenyum.

“Komitmen yang tinggi oleh para petugas barisan hadapan tanpa mengharapkan apa-apa balasan wajar dihargai oleh semua pihak.

“Oleh itu, marilah kita memberi penghargaan dengan mengurangkan kes Covid-19 melalui penyertaan program vaksinasi. Lindungilah diri dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN