Walaupun baru-baru ini Proton menjadi bualan orang ramai setelah timbul isu ‘konflik dalaman’ antara CEO dan kesatuan pekerjanya, namun ia tidak menjadi halangan kepada syarikat itu untuk mengembangkan fasiliti yang sedia ada di Tanjung Malim.

Semalam, pihak pengurusan Proton telah mengadakan upacara memecah tanah untuk kilang penghentakan badan kereta baru. Penambahan fasiliti ini merupakan sebahagian rancangan syarikat untuk menambah tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang.

Menurut Proton, fasiliti baru ini dapat memberi sumbangan kepada barisan pengeluaran sedia ada kerana jentera hentakan ‘Superlarge’ yang akan diguna mampu meningkatkan kebolehan PROTON.

Sebanyak RM200 juta telah dilaburkan untuk menaikkan taraf fasiliti di Tanjung Malim menjadi sebuah kilang pembuatan tahap dunia.

Tambah Proton lagi, pelaburan ini dapat membantu syarikat untuk membuat lebih banyak model kerana kilang itu akan menggunakan alatan dan sistem canggih yang terkini.

vocket-proton-labur-rm200-juta-tanjung-malim-2

“Walaupun kami berpuas hari dengan kemajuan syarikat setakat ini, PROTON perlu sentiasa memandang ke masa depan.

“Penambahan baru ini adalah sebahagian dari strategi kami untuk memastikan kami boleh terus berkembang dan pada masa yang sama, menambah jumlah model bila ia diperlukan.

“Ini bermakna syarikat akan mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan pelbagai model tetapi lebih penting lagi, kami akan mengeluarkan produk yang bertaraf tinggi dan mempunyai teknologi baru,”  kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

vocket-proton-labur-rm200-juta-tanjung-malim-1

Tambah beliau lagi, perniagaan syarikat itu telah meningkat secara mendadak pada tiga tahun lepas. Proton telah melancarkan model baru, menambah pegangan pasaran, meningkatkan tahap kualiti dan juga merombak rangkaian pengedarnya.

Sekaligus ia telah berjaya membantu syarikat untuk menyandang gelaran sebagai satu-satunya pengeluar kenderaan di Malaysian yang meningkatkan jualan pada tahun 2020.

vocket-proton-labur-rm200-juta-tanjung-malim-3

Tambah Dr.Li lagi, fasiliti baru ini adalah sebahagian kecil dari perancangan untuk bersaing di luar negara dan ia amat penting kerana membolehkan penambahan penggunaan komponen tempatan pada masa hadapan.

Ini juga akan membolehkan Proton melibatkan lebih banyak vendor tempatan dalam proses pengeluarannya dan mengembangkan lagi ekosistem automotif tempatan.

Kilang penghentakan badan kereta baru ini akan diletakkan bersama-sama dengan barisan pengeluaran yang sedia ada dan dijangka akan siap pada suku ketiga tahun 2022.

Pada tahun 2019, Proton pernah membelanjakan sebanyak RM1.2 bilion untuk membangunkan barisan pengeluaran yang baru bagi meningkatkan lagi pengeluaran kereta tempatan ini.

Sumber The Vocket