KLANG, 22 April: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan termasuk memukul pengawal peribadinya dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam minggu lalu.

Tertuduh Chung Chee Yang, 43, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret P. Sarulatha selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Turut membuat pengakuan sama ialah pembantu peribadinya, Choo Hin Voon,43, yang didakwa atas dua pertuduhan mencederakan individu sama.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang yang terlibat dengan beberapa perniagaan termasuk pelaburan hartanah didakwa menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan sepucuk pistol ke arah mangsa, Mohd. Azminizam Zulkepli berusia 44 tahun.

Chee Yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, bapa kepada empat anak itu didakwa bersubahat dengan Hin Voon dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Azminizam dan seorang lagi mangsa, Ahmad Shamsuri Zailani berusia 27 tahun dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan keeempat pula, Chee Yang didakwa mengeluarkan beberapa perkataan menghina agama Islam dan menghalang mangsa berpuasa yang boleh didengari Mohd. Azminizam dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.

Dia didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kelima pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Azminizam dan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tertuduh kedua pula, Hin Voon yang merupakan pembantu peribadi kepada Chee Yang didakwa dua pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri dengan menggunakan senjata iaitu rotan.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam , Bandar Bukit Tinggi antara pukul 10.30 hingga 11.30 malam pada 13 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dan Mohd. Fakhrurrazi Ahmad menawarkan wang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh masing-masing RM200,000 dan RM100,000 bagi setiap pertuduhan.

“Tawaran jaminan yang diberikan terhadap kedua-dua tertuduh adalah munasabah kerana tertuduh pertama adalah ahli perniagaan yang mampu membayarnya serta kes ini mendapatkan perhatian awam berikutan melibatkan agama.

“Selain itu, saya mohon syarat tambahan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan mereka perlu melapor diri di balai polis,” ujarnya.

Peguam mewakili Chee Yang, Abdul Hakeem Aiman memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana tawaran tersebut tidak munasabah selain anak guamnya mempunyai tanggungan empat orang anak dan perlu menjaga ayah yang mempunyai masalah kesihatan iaitu kanser usus dan perut.

Sementara itu, peguam Loi Yap Loong mewakili Hin Voon turut memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya kerana perlu menyara dua anak dan isteri tidak bekerja serta menanggung ibu yang mempunyai masalah berjalan.

Mahkamah kemudian menetapkan Chee Yang dan Hin Voon masing-masing dijamin RM50,000 dan RM20,000 dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan serta tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun ini. – UTUSAN ONLINE