SELAMA, 20 Julai — Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama menganjurkan program Ibadah Qurban melibatkan 20 haiwan korban.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seramai 98 individu yang mengambil bahagian bagi melaksanakan ibadah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin, berkata program itu turut disertai penduduk setempat dan penyumbang dari luar kawasan Selama.

“Alhamdulillah tahun ini kita berjaya mengumpulkan lebih ternakan korban di mana pada awalnya kita menyasarkan sebanyak 10 ternakan sahaja.

“Kami berterima kasih kepada peserta yang memberi kepercayaan kepada Pusat Khidmat ADUN Selama sebagai pengurus program korban kali ini,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan program yang dijalankan selama tiga hari bermula Selasa itu melibatkan seekor lembu “sado” dan lima lembu tempatan sumbangan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 14 Julai lalu.

Katanya lagi semua daging korban akan diedarkan kepada penerima sekitar Selama.

Tambah Mohd Akmal, selain lembu korban sumbangan kerajaan negeri, Pusat Khidmat ADUN Selama juga mengedarkan daging korban daripada enam lembu dan lapan kerbau daripada bahagian peserta.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengingatkan umat Islam khususnya mereka yang terlibat secara dalam ibadah korban untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya lagi.