PUTRAJAYA, 10 JUN : Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, memberi ‘tabik hormat’ kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang disifatkan sebagai generasi hebat.

Ia berikutan kejayaan mereka mengharungi tempoh sukar sejak penularan COVID-19 sehingga menduduki peperiksaan awam itu, tahun ini.

Radzi menzahirkan pujian itu kepada kesemua calon terbabit, tanpa mengira apa juga keputusan diperoleh mereka dalam peperiksaan berkenaan.

“Untuk calon SPM 2020, apa saja keputusan yang anak-anak dapat pada hari ini, ingatlah generasi anak-anak adalah generasi yang hebat.

“Belum pernah ada mana-mana calon SPM yang melalui dugaan cabaran dan rintangan seperti mana calon SPM 2020.

“Tabik hormat pak cik kepada anak-anak sekalian,” katanya pada Sidang Media Khas SPM 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Radzi mengaku tempoh sukar itu turut diharungi semua pihak, sekali gus berterima kasih kepada keseluruhan jentera di Kementerian Pendidikan (KPM), khususnya Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), dalam usaha memastikan peperiksaan SPM 2020 berjalan lancar walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Beliau menegaskan, guru bagi calon SPM 2020 sudah melakukan yang terbaik untuk anak didik mereka, biarpun terpaksa berdepan penutupan sekolah, selain penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Alhamdulillah, anak-anak calon SPM 2020 saudara-saudari telah melakukan yang terbaik.

“Selain itu, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru yang terbabit dalam melaksanakan SPM 2020.

“Ia bukan sesuatu yang mudah. Guru sebagai petugas peperiksaan, bertugas pada hari peperiksaan, terbabit dalam pemarkahan peperiksaan serta yang mengajar calon SPM 2020, bagi pihak KPM, terima kasih saya ucapkan,” katanya. – Berita Harian