IPOH, 10 DIS: Rakyat Perak berharap agar Menteri Besar yang baharu, Datuk Saarani Mohamad dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik-baik mungkin.

Tinjauan Suara Perak mendapati rata-rata rakyat yang ditemui mengharapkan perubahan yang lebih baik akan dilakukan demi meningkatkan ekonomi negeri ini.
Rosniza Abdullah, 50, berharap, kepimpinan negeri yang baharu akan lebih prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas ekoran wabak Covid-19.

“Sebagai rakyat negeri Perak, saya berharap agar Menteri Besar baharu ini mengambil berat dan prihatin kepada kebajikan rakyat dibawah yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 ini.

“Selain itu, saya berharap beliau dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rosniza Abdullah

Sementara itu, tukang gunting rambut, M. Elangovan, 64, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan Menteri Besar baharu yang berpengalaman luas dalam mentadbir negeri Perak.

“Bagi saya, MB baharu ini mempunyai pengalaman yang luas dalam mentadbir kerajaan negeri kerana sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai Exco.

“Jadi, saya yakin beliau dapat memberikan yang terbaik kepada negeri Perak,” katanya.

M.Elangovan

Manakala, Abdul Khalid Ahmad, 64, berharap, Menteri Besar yang baharu dilantik dapat memberikan fokus membantu masyarakat Melayu di negeri ini.

“Harapan saya kepada pimpinan yang baharu adalah mereka memberikan fokus kepada membangunkan ekonomi orang Melayu terutamanya yang tinggal di kawasan perkampungan yang dilihat ketinggalan dari segi kemajuan ekonomi.

“Rata-rata mereka adalah peniaga tepi jalan dan turut terkesan dengan situasi semasa yang meruncing,” ujarnya.

Abdul Khalid Ahmad

Saarani, 59, dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke 14 bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan setelah hilang kepercayaan majoriti wakil rakyat dalam usul percaya di persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu.