IPOH, 13 Okt – Seorang penyelia asrama sebuah sekolah agama di Bagan Datuk, Perak, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas satu tuduhan pilihan menerima rasuah daripada seorang kontraktor, empat tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Rozi Ahmad Puad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, dia
didakwa telah memperoleh wang tunai RM5,800 daripada seorang kontraktor perkhidmatan bekalan makanan sebagai upah untuk tidak membuat sebarang pemotongan terhadap tuntutan kontraktor berkenaan.

Dia didakwa menerima wang tunai itu melalui kemasukkan ke akuan Maybank pada 31 Julai 2017.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima dua tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.