BERUAS, 30 Nov – Seorang remaja maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Hijau, Sitiawan, dekat sini, awal pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Nga Hu Chen, 18, disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.12 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan bertembung menyebabkan pemandu Perodua Myvi tersepit manakala pemandu Proton X70 mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan maut oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuaj Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azizi Kamaruddin tamat jam 1.55 pagi.