IPOH, 21 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan rondaan dan pemeriksaan di kawasan perumahan serta kediaman pada Hari Raya Aidilfitri nanti sebagaimana yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata ia bagi memastikan tiada mana-mana pihak ataupun individu yang dikesan cuba untuk merentas negeri tanpa kebenaran.

Katanya ia juga sebagai langkah memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 berada pada tahap baik dalam kalangan rakyat.

“Kadang-kadang bukannya disebabkan surat rentas negeri dan sebagainya. Mereka yang lepas sekatan jalan raya ini licik.

“Kadang-kadang pada cuaca hujan lebat dan ribut, anggota kita terpaksa berlindung di pondok sebagai langkah keselamatan. Pada ketika itulah mereka ini mengambil kesempatan untuk melalui sekatan jalan raya.

“Tetapi pada tahun ini kita juga akan buat seperti tahun lepas yang mana kita akan buat pemeriksaan dari rumah ke rumah.

“Misalnya mana-mana rumah yang dikesan ada banyak kereta (yang parkir), kita akan periksa sama ada mempunyai surat kebenaran untuk rentas negeri atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Buku 69 Komando Lahad Datu Mac 2013 sempena lawatan kerjanya di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Dalam perkembangan lain Abd Rahim meminta agar rakyat tidak keliru dengan arahan berkenaan pergerakan rentas negeri yang dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, baru-baru ini.

Katanya walaupun pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja namun ia terkecuali sekiranya berlaku sebarang kecemasan ataupun urusan kerja yang mendesak.

“Apa yang dinyatakan Timbalan Ketua Polis baru-baru ini adalah susulan ada dikesan pihak yang menyalahgunakan kebenaran pergerakan rentas negeri. Contohnya menggunakan alasan kerja pada hujung minggu namun sebaliknya mereka pergi kenduri kahwin dan sebagainya.

“Sekiranya memang ada urusan kerja pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad atau pun apa-apa hal kecemasan pada hari-hari itu juga, kita masih membenarkan untuk merentas negeri,” jelas beliau.