Restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah yang tular menerusi media sosial kerana menjual dua ekor sotong goreng berharga RM100 hari ini mempertahankan harga tersebut berdasarkan kos bahan mentahnya.

Pengarah Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata beliau terpanggil untuk memberi penjelasan berhubung harga dua ekor sotong yang tular itu selepas restoran berkenaan menerima kecaman daripada warga maya sedangkan pihaknya membeli sotong segar pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah.

“Harga sotong goreng itu tular selepas satu pasangan membeli dua set nasi berlaukkan sotong di restoran kami semalam dan kemudian seorang daripada mereka (pasangan itu) berkongsi di laman sosialnya sehingga mendapat perhatian ramai, sotong yang kami gunakan untuk hidangan sotong goreng apollo itu bukan murah.

“Sebenarnya harga kesemua makanan yang dijual di restoran kami disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150 seekor berdasarkan saiznya,” katanya.

Sejak semalam tular menerusi media sosial seorang individu memuat naik gambar nasi beriani berlaukkan sotong dan sekeping resit yang memaparkan harga dua ekor sotong goreng di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang adalah RM100.