KOS RM10 juta tidak hanya membuat padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebaliknya ia termasuk bagi membaik pulih atau penambahbaikan padang stadium di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengadakan kunjungan ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara dengan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) termasuk untuk memperbaiki padang-padang bola sepak di seluruh negara, bukan saja di Bukit Jalil.

“Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan hanya satu padang di Stadium Nasional.

“Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor kepada saya. Malah, selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya untuk memberi fokus kepada menaik taraf padang bola sepak di stadium seluruh Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditanya pihak media susulan kenyataan Tunku Ismail yang mempersoalkan jumlah kos berkenaan bagi membuat padang baharu di SNBJ.

Tunku Ismail agak terkejut apabila kos baik pulih padang berkenaan agak tinggi hingga melihat kemungkinan ada pihak yang mengambil keuntungan ‘atas angin’.

Menerusi rancangan Bola@Mamak pada Isnin, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberitahu hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim yang lengkap dengan sistem perpaipan, tanah dan pelbagai lagi.

“Saya buat RM1.4 juta sahaja. Saya pakai Zoysia. Kos dia tetap sama… paling mahal pun RM1.5 juta, takkan ada lebih mahal daripada itu. Kenapa jadi sampai RM10 juta?

“Untuk kos penyelenggaraan pun, (kos) tidak lebih RM300,000 setahun. Kalau ada orang nak selenggara padang perlukan berjuta-juta, itu cerita dongeng.

“Jadi kalau boleh saya nak minta pada kerajaan dan KBS, bajet yang ada jangan diberikan pada kelab tetapi pada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk buat padang. RM1.4 juta untuk 14 negeri, bagi saya tiada apa-apa,” ujar TMJ. – Sinar Harian