BAGAN SERAI, 10 MAC – Kerajaan Perak memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta bagi meluaskan operasi kutipan sampah di luar kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mulai tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata inisiatif itu diambil bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan luar bandar yang sering berdepan kesukaran berhubung kerana ketiadaan perkhidmatan kutipan dan pengurusan sampah kerana berada di luar kawasan operasi PBT.

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan tersebut bagi menyediakan perkhidmatan kutipan sampah kepada 108 buah kampung secara berperingkat mulai bulan ini.

“Peruntukan tersebut disediakan bagi menampung kos penyediaan tapak kutipan, kos pembelian tong sampah serta kos perkhidmatan operasi oleh pihak PBT,” katanya.

Terdahulu Saarani merasmikan stesen kutipan sampah di Kampung Sungai Semambu dekat sini pada Rabu.

Katanya perasmian itu sebagai simbolik kepada permulaan program kutipan sampah di luar kawasan operasi PBT yang akan membabitkan kesemua 15 PBT seluruh negeri.

“Sebanyak 25 buah kampung akan mula mendapat perkhidmatan itu pada bulan ini. Manakala 83 buah kampung lagi akan bermula pada bulan April.

“Kerajaan negeri akan memperluaskan lagi program kutipan sampah ini khususnya di kampung-kampung yang terletak di luar kawasan operasi PBT pada masa hadapan,” ujar Menteri Besar.