IPOH, 16 DIS: Kerajaan negeri memperuntukkan RM25.9 juta bagi usaha pemulihan dan memaksimumkan potensi industri pelancongan di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ianya selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang menyasarkan kedatangan pelancong antara tiga hingga lima juta orang bagi tahun 2021.

“Kepada Tourism Perak, kerajaan negeri memperuntukkan RM7 juta meliputi RM1 juta anggaran terimaan Cukai Pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Perbadanan Taman Negeri pula menerima geran tahunan sebanyak RM3.5 juta, Geopark Lembah Kinta RM0.8 juta, pengurusan Bukit Larut RM1 juta, pengurusan Taman Botani Taiping RM0.3 juta dan lain-lain program pelancongan sebanyak RM1.7 juta.

“Bagi tahun 2021, kerajaan negeri meneruskan kempen pelancongan domestik dengan menyediakan 10,000 keping baucar pelancongan #TravelPerakLah yang bernilai RM150, RM50 dan RM30 melibatkan pengusaha penginapan dan pengusaha produk pelancongan yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam pembentangan Belanjawan negeri 2021 di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke 14 di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, Saarani juga mengumumkan keputusan kerajaan negeri memberikan RM10,000 bantuan secara one-off kepada 12 persatuan dan NGO bagi menghargai sumbangan mereka membantu memajukan sektor pelancongan di Negeri Perak.

Beliau menambah, bantuan insentif one-off RM700 juga akan diberikan kepada 300 pemandu pelancong yang berdaftar di Negeri Perak serta RM2,000 kepada 200 syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar.

Tambah beliau, sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk menaik taraf serta menyelenggara kemudahan-kemudahan pelancongan di seluruh negeri seperti kerja naik taraf di Lata Tebing Tinggi, Selama; Zoo Taiping; Taman Alam Kinta, Kampar; dan Kellie’s Castle di Batu Gajah.

Ujarnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM10 juta bagi belanja mengurus dan kos penyelenggaraan serta RM1.6 juta bagi belanja pembangunan kepada Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak.