BUDAPEST: Cristiano Ronaldo memahat rekod penjaring terbanyak Kejohanan Eropah (Euro) selepas meledak dua gol ketika membantu Portugal membenam Hungary 3-0 dalam aksi Kumpulan F sebentar tadi.

Beraksi di depan lebih 60,000 penonton, Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 dan meledak gol keduanya di minit ke-92 untuk mengumpul 11 gol keseluruhan sepanjang penampilannya di pentas Eropah.

Dua gol tersebut membolehkan penyerang Juventus itu mengatasi rekod jaringan terbanyak yang dikongsi bersama legenda Perancis, Michel Platini sebelum ini iaitu sembilan gol.

Semua gol Platini hadir ketika Perancis merangkul kejuaraan Euro di laman sendiri pada 1984.

Ronaldo, 36, sebaliknya meledak dua gol pada Euro 2004 ketika Portugal tewas dalam perlawanan akhir kepada Greece selaku tuan rumah sebelum menambah satu gol pada 2008, tiga pada 2012 dan tiga lagi ketika skuad Selecao menjulang trofi pada 2016.

Dia kini mengumpul 106 gol buat negaranya, hanya tiga kurang untuk menyamai rekod jaringan sepanjang zaman peringkat antarabangsa dengan 109 gol dicipta pemain Iran, Ali Daei.

Hungary tampak berpeluang untuk mengikat penyandang juara itu dengan keputusan seri sehinggalah mereka melepaskan tiga gol dalam tempoh sembilan minit terakhir bagi membolehkan Portugal membuka kempen dengan langkah kanan.

Selepas gagal membolosi gawang lawan enam minit menuju penghujung permainan, Raphael Guerreiro memecah kebuntuan pada minit ke-84 apabila melepaskan rembatan kaki kanan.

Ronaldo mengesahkan kemenangan Portugal dengan menambah dua gol dalam tempoh lima minit.

Kemenangan ini pasti menaikkan semangat Portugal sebelum berdepan Jerman, Ahad ini, diikuti Perancis pada 24 Jun. – AGENSI