Port Dickson, 15 Jan: Seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan membuat laporan polis palsu mengenai kehilangan wang gaji pekerjanya dalam kenderaan sebanyak RM39,800 sedangkan ia habis digunakan untuk berjudi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada 14 Januari lalu, jam sekitar 9.33 malam, pihak polis menerima satu laporan daripada lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat pembinaan.

“Lelaki ini menyatakan pada hari sama sekitar jam 2.30 petang dia sudah mengeluarkan wang sejumlah RM45,000 dari Cimb Bank Cyberjaya bagi tujuan membayar bayaran gaji pekerja.

“Apabila selesai urusan pengeluaran, pengurus ini mengatakan menyimpan wang itu di dalam beg sandang dan diletakkan di bawah kerusi tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, dia terus balik ke Port Dickson dan pergi ke rumah bapa saudaranya di sebuah Flat di Lukut dan menyerahkan wang sebanyak RM4,700.

“Selepas itu, lelaki ini berkata, dia singgah makan di sebuah kedai makan di Taman Sentosa lalu meletakkan kenderaan dan baki wang di dalam kereta.

“Apabila selesai, dia kembali semula ke kenderaan dan mendapati duit dan beg sandang sudah hilang namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaan,” katanya.

Aidi Sham berkata, pada 14 Januari jam lebih kurang 11.15 ketika disoal siasat lanjut oleh pihak polis, pengurus ini didapati sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan wang berjumlah RM39,800.

“Pihak polis dapat mengesan tujuan lelaki itu supaya dapat melewatkan pembayaran gaji pekerja kerana wang itu sudah habis digunakannya untuk bermain judi di sebuah tempat perjudian berlesen.

“Pihak polis terus membuat satu laporan untuk pengadu disiasat kerana membuat keterangan dan laporan palsu,” katanya.

Tambahnya, pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan memberi nasihat serta amaran kepada orang awam supaya tidak membuat apa-apa laporan polis palsu bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

— Harian Metro