Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Lawatan turut disertai Exco kerajaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan para pegawai kanan kerajaan negeri.

“Dalam pertemuan ini, kami berbincang panjang lebar mengenai pelbagai isu yang menyentuh soal kebajikan rakyat khususnya dalam aspek pemilikan perumahan.

“Begitu juga dengan perkara yang berkaitan isu perbandaran dan pengurusan sisa pepejal.

“Semuanya menuntut kerjasama erat antara kementerian dan kerajaan negeri,” katanya menerusi status di Facebook.

Saarani berharap agar kerjasama ini dapat memberi manfaat khususnya berhubung soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.