IPOH, 18 Jun – Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memuji sikap Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang meminta semua pihak agar menghormati dan menunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Menurutnya, Saarani telah menunjukkan sikap dan sifat seorang Menteri Besar yang menjunjung prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.

Di samping itu, katanya, Saarani juga telah mempamerkan adab dan sopan yang tidak mempersenda titah Raja Pemerintah.

“Sikap dan sifat seorang Menteri Besar yang menjunjung prinsip KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA, mempamerkan adab dan sopan yang tidak mempersenda titah Raja Pemerintah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) merujuk kepada laporan media mengenai seruan Saarani agar semua piha, termasuk Ahli-Ahli Dewan Rakyat, menghormati dan menunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Saarani berkata, mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan yang dilihat mencabar atau memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Jelas Ahmad Fadil lagi, Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu paltform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.