TANJUNG MALIM, 10 JUN : UMNO Perak yakin Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dapat menjalankan tugas sebaiknya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pengalaman bekas Menteri Besar Perak itu dalam politik sama ada di peringkat negeri, kebangsaan malah antarabangsa,  membawa kebaikan buat semua pihak.

“Pengalaman beliau  sebagai pengerusi BN Perak dan Menteri Besar Perak, saya yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Pengalaman beliau dalam politik bukan sahaja negeri Perak tapi juga kebangsaaan malahan di peringkat antarabangsa juga untuk kebaikan kita semua,” katanya kepada pemberita di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini semalam. 

Saarani turut menzahirkan rasa gembira serta memaklumkan pihaknya amat menghargai pelantikan Zambry sebagai Setiausaha Agung BN yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Pelantikan Zambry sudah tentu saya sangat gembira serta menghargai pelantikan tersebut. Tahniah dan syabas kepada beliau,” katanya.

Pelantikan Zambry yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu diumumkan Ahmad Zahid menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau kelmarin.

Menurut Ahmad Zahid, perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan secara maya. – UTUSAN ONLINE