PUTRAJAYA, 2 Sep- Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada hari pertama beliau di kementerian berkata, tugas pertamanya adalah membentuk kerangka dasar luar negeri untuk pentadbiran baharu yang bakal menyediakan panduan daripada segi hala tuju, tumpuan dan pendekatan dasar luar Malaysia.

Saifuddin, yang kembali ke Wisma Putra untuk kali kedua, berkata kerangka kerja itu sejajar dengan arahan perdana menteri untuk menyediakan laporan keberhasilan 100 Hari Pertama selepas pelantikannya.

“Ia bukan dasar luar negeri yang baharu. Temanya adalah tumpuan dalam kesinambungan”, katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat pertama dengan ketua jabatan di Wisma Putra pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata ‘tumpuan’ itu merujuk kepada keperluan dan cabaran semasa dan jangka masa pendek terutamanya mengenai ‘diplomasi kesihatan’ dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan impaknya.

“Kesinambungan merujuk hala tuju jangka masa sederhana dan panjang menyaksikan Malaysia akan terus melaksanakan prinsip-prinsip fundamental dalam hubungan antarabangsa yang telah diamalkan selama ini.

“Misalnya, mempunyai hubungan baik dengan semua pihak; menegakkan kepentingan-kepentingan Malaysia dari segi kedaulatan, kelangsungan dan keselamatan; kepentingan ekonomi dan kemakmuran rakyat; serta memelihara dan menonjolkan identiti dan nama baik negara dalam kalangan komuniti antarabangsa.

“Kita juga akan menggalakkan ‘diplomasi kebudayaan’ untuk memacu identiti negara. Daripada segi keamanan dunia pula kita akan mengartikulasi konsep ‘hidup bersama dalam budaya damai dalam konteks multilateralisme,” katanya. – Bernama