LUMUT: Seekor ular sawa yang kekenyangan selepas membaham dua ekor monyet ditemui dalam sangkar dipasang di pejabat Renjer Hutan Lumut di sini hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata, reptilia lebih tiga meter panjang tersebut dipercayai baru menelan dua ekor monyet dalam sangkar tersebut.

“Kami menerima panggilan kecemasan pejabat Renjer Hutan pada pukul 8.47 pagi dan lima anggota segera ke lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kakitangan pejabat renjer menyedari kehadiran ular sawa Batik dalam perangkap ketika memeriksa sangkar tersebut.

Katanya, kakitangan meletakkan perangkap  dengan umpan monyet kerana terdapat banyak mamalia itu yang menceroboh kawasan pejabat mereka.

Beliau berkata, sehingga semalam,  terdapat tujuh monyet yang berada dalam sangkar tersebut. 

“Bagaimanapun, apabila memeriksa sangkar itu pagi tadi, didapati hanya ada lima ekor monyet yang bergayut atas sangkar manakala seekor ular sawa kekenyangan berada di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, anggota APM mengambil masa  15 minit untuk menangkap ular tersebut yang  agresif ketika cuba ditangkap. – UTUSAN