BAGAN SERAI: Kira-kira 10 hektar kawasan sawah di Parit Mat Keling di sini ditenggelami banjir sejak tiga hari lalu menyebabkan anak padi berusia sebulan dikhuatiri rosak.

Seorang pesawah, Norpazli Samad, 40, berkata, banjir menenggelamkan anak padi ekoran air melimpah masuk ke dalam petak sawah padi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hujan lebat dan sistem saliran yang tidak sempurna menyebabkan kejadian itu berlaku setiap tahun.

“Sekiranya pucuk anak padi ini ditenggelami air hampir seminggu atau air menjadi keruh yang menyebabkan anak padi tidak menerima cahaya matahari, anak padi ini akan mati,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Norpazli yang juga Ketua Unit Peladang Bagan Serai dan Beriah berkata, pesawah yang terjejas mungkin kerugian berpuluh ribu ringgit atau kehilangan hampir 43 tan metrik padi di kawasan seluas 10 hektar sawah yang ditenggelami banjir.

Katanya, berikutan itu pesawah yang terlibat berharap kerajaan dapat membantu dari segi kewangan kerana pesawah sudah kehabisan modal yang telah digunakan semasa menanam padi musim baharu.

“Jika tiada bantuan, pendapatan pesawah musim ini akan terjejas malah ia juga akan menjejaskan hasil padi di daerah Kerian musim ini,” katanya.

Norpazli  juga mencadangkan agar satu unit pam air kekal diwujudkan di kawasan sawah padi yang sering berlaku banjir untuk mengatasi masalah tersebut.

“Selain itu pihak berkenaan perlu mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk mengelak masalah ini berlaku lagi,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Maimunah Jab, 71, berkata, sawah padi seluas satu hektar yang diusahakannya juga ditenggelami banjir.

Menurutnya, dia sudah tidak mempunyai modal untuk menanam semula benih padi baharu.

“Jika diberikan benih baharu untuk tanaman semula, sudah tentu petak sawah saya tidak sama dengan jadual menanam yang sepatutnya dan ini sudah tentu menyukarkan saya,” katanya.

Maimunah berharap kerajaan membantu pesawah yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

“Saya berharap kerajaan dapat mengembalikan wang bantuan menunggu padi masak kerana bantuan itu amat diperlukan ketika ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE