KUALA LUMPUR, 22 JULAI : Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, dijangka akan mengadakan satu sesi ‘live’ di media sosialnya pada jam 12 tengah hari Khamis, untuk menjelaskan mengenai kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.

Dalam perkongsian di laman Facebook dan Instagramnya pada malam Rabu, beliau berkata semua tuduhan dihadapinya adalah fitnah yang melampau dan tidak berasas.

“Doakan ya esok pukul 12 tengah hari saya akan live menjawab kepada semua fitnah yang melampau dan langsung tak berasas terhadap saya.

“Saya bersyukur pada Allah kerana Dia Maha Baik dan Maha Besar. Saya cuma orang biasa dan pendosa. Syukur direzekikan dapat menjadi sebahagian kecil usaha kasih sayang ini. Saya diajar untuk tidak menjawab dan bergaduh dari kecil.

“Tapi semenjak di Mesir fitnah dan kata sinis terus menimpa saya. Dari dulu lagi saya dah biasa difitnah dan dikata begini. Saya bersyukur kerana apalah sangat ujian ini. Tapi bila anak saya menangis, arwah ayah saya menangis, isteri saya menangis,isteri kepada team saya menangis…

“Kami cuma manusia biasa. Penat, letih dan berat ujian. Ratusan ribu orang melihat fitnah tentang saya. Hari ini masih belum habis. Pagi ini anak saya peluk saya menangis,” katanya.

Pada Rabu, Ebit membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dikatakan dibuat terhadap beliau oleh beberapa individu.

Ebit memaklumkan dalam laporan polis tersebut beliau menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri, penyanyi rap Caprice dan beberapa individu lain.

Beliau berkata, mempunyai bukti lengkap untuk menyangkal segala tuduhan yang dilontarkan terhadapnya dan menyerahkan kepada peguamnya untuk memutuskan tindakan selanjutnya. – AWANI