Kuala Lumpur, 9 Mei : Atas rasa rendah diri dan dengan hati yang sangat berat, saya ingin maklumkan yang saya memohon untuk meninggalkan pasukan Perak FC.

Terima kasih kepada pihak pengurusan Perak FA dan Perak FC yang membawa dan menerima saya pulang dari Felda United pada 2016 hingga ke 2021.

Ia bukan satu keputusan yang mudah, tapi selepas berfikir dan berbincang dengan seluruh keluarga, saya terpaksa membuat keputusan yang kami yakin adalah yang terbaik untuk karier saya dan masa depan keluarga saya.

Saya yakin saya sudah memberi yang terbaik serta banyak berkorban buat negeri yang kita cintai ini, namun saya yakin sudah sampai masanya juga untuk saya memikirkan masa depan saya.

Ini adalah pengalaman lima tahun yang luar biasa dari awal hingga akhir bersama keluarga perak. Kepada jurulatih, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan, anda semua sangat mengagumkan dan saya tidak dapat mengucapkan terima kasih kepada anda semua.

Ia pengalaman sungguh bermakna menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak yang penuh kasih dan sayang antara satu sama lain. Kalian adalah keluarga saya selamanya dan saya harap kita akan bekerjasama lagi sebagai satu pasukan, InsyaAllah.

Kepada peminat di luar sana, terima kasih atas sokongan selama ini. Kalian adalah yang terbaik.

Untuk Perak FC saya mengucapkan semoga berjaya dalam usaha anda di masa hadapan. Semoga anda terbang tinggi dan sentiasa berjaya. – Harian Metro