KUALA LUMPUR, 21 JULAI : Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew membuat laporan polis pada Rabu berhubung beberapa dakwaan yang dibuat terhadap beliau oleh beberapa individu kebelakangan ini.

Ebit memaklumkan beliau difitnah dalam isu yang tular kebelakangan ini dan akan membuat penjelasan lanjut dalam satu sidang media yang akan dijadualkan dalam masa terdekat.

“Kalau boleh saya tidak mahu balas dari awal saya tidak pernah buat apa-apa kenyataan, hari ini saya pergi ke balai untuk membuat laporan polis kerana perkara ini sangat mengganggu dan menyedihkan.

“Saya kecewa tentang perkara ini, saya menafikan semua tuduhan yang dibuat dan ia adalah fitnah semata-mata, Wallahi … tiada semua sekali, ia adalah fitnah,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Ebit memaklumkan dalam laporan polis tersebut beliau menamakan beberapa individu antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri, penyanyi rap Caprice dan beberapa nama lain.

Beliau menjelaskan mempunyai bukti lengkap untuk menyangkal segala tuduhan yang dilontarkan terhadapnya dan menyerahkan kepada peguamnya untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

“Saya serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut sama ada akan saman malu atau sebagainya. Insya-Allah dalam masa yang terdekat ni. Mungkin esok,saya akan terangkan sebab tuduhan itu sangat melampau dan menyedihkan.

“Saya ada bukti untuk semua itu. Sepatutnya orang yang menuduh keluarkan bukti tapi tidak mengapa, saya boleh keluarkan bukti walaupun saya yang tertuduh, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, menurut peguam yang mewakili Ebit, Datuk Hasnal Reza Merican, beliau menyifatkan isu ini berunsur fitnah yang berbentuk jenayah dan akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

“Laporan ini bertujuan agar pihak polis untuk menjalankan siasatan jika wujud sebarang unsur fitnah berbentuk jenayah.

“Pada masa yang sama, untuk kita mulakan tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang masih tegar untuk memperkatakan perkara ini atau mengulang siar intipati yang bersifat fitnah terhadap Ustaz Ebit.

“Kita akan zoom in kepada defendent yang dihasratkan dan kemukakan tindakan sivil terhadap mereka,” katanya.

Tambahnya, kes ini akan disiasat di bawah bidang kuasa Balai Polis Bandar Tun Razak untuk siasatan lanjut. – AWANI