PETALING JAYA, 31 Julai: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau tetap hadir ke Parlimen Isnin ini untuk menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat.

Beliau menyifatkan alasan penangguhan itu sebagai tidak munasabah apabila kadar positif Parlimen adalah hanya 0.9 peratus.

“Takut sangat nak bahas darurat? Jangan ingat rakyat bodoh. Saya dan rakan wakil rakyat lain dibayar untuk bertugas di Parlimen. 

“Saya tetap ke Parlimen Isnin ini. Nak halang saya, halang lah. Saya tak takut,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19. – UTUSAN ONLINE