IPOH: “Saya tidak mahu melihat Perak FC lingkup,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed yang menyifatkan Perak FC melalui waktu sukar berikutan perpindahan pemain utama mencari angin baharu ekoran masalah kewangan.

Bagaimanapun beliau berkata, pasukan itu telah disertai sembilan orang pemain baharu bagi menggantikan pemain yang telah keluar.

“Dalam masa yang sama kita telah menjimatkan setengah juta sebulan, untuk membiayai gaji pemain pasukan kerana kekangan utama kita ialah duit.

“Sehingga hari ini, masih belum terdapat mana-mana pihak yang mahu mengambil alih pasukan Perak FC, tetapi saya faham dalam situasi COVID-19 ini banyak yang terjejas. Kita masih berusaha dan doakan untuk Perak FC berjaya,” katanya dalam satu program di laman sosial Facebook Pior.TV hari ini.

Khairul Shahril berharap agar peminat pasukan Perak FC atau Bos Gaurus ini, terus kekal setia memberi sokongan walaupun ketika dalam keadaan yang sulit ini.

Isu kewangan sebelum ini menyebabkan Perak FC kehilangan enam tonggak, diketuai ketua pasukan Shahrul Saad dan penyerang Guilherme de Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penyokong Bos Gaurus memetik beberapa nama seperti bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bekas pengurus Perak FA Datuk Jamal Nasir Rasdi, dan usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengambil alih kepimpinan pasukan Perak FC.

Namun Hasmiza atau Vida, mahu meneliti terlebih dahulu syarat serta rundingan yang akan diadakan, sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

Terdahulu, sewaktu sesi program bicara tersebut Khairul Shahril menjelaskan beberapa inisiatif dan peranan pihaknya, dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) antaranya pemberian imbuhan sebanyak RM50 kepada sukarelawan MyVAC, yang membantu program vaksinasi di Perak.

Selain itu, pihaknya turut memperkenalkan sukarelawan Gelembung Sukan Perak, yang dilantik untuk memantau premis sukan dan pengajuran sukan, walaupun kini tiada lagi penganjuran sukan.

Katanya pihaknya turut berbincang bersama Jabatan Pelajaran negeri, membantu memenuhi keperluan kelas Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan mengedarkan 20,000 unit telefon pintar serta data percuma, khusus bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada golongan B40.

Selain itu pihaknya turut merancang pembinaan dua buah studio pembelajaran di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

— BERNAMA