KUBANG PASU, 4 DIS :  Kementerian Pendidikan  memberi amaran kepada semua pengurusan sekolah supaya tidak menyembunyikan kes membabitkan pelajar dan guru yang positif Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihak sekolah yang didapati menyembunyikan kes positif di sekolah akan dikenakan tindakan tegas.

Ini kerana, menurutnya, semua sekolah perlu mengemukakan segera laporan berkaitan kes Covid-19.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, tiada terdapat sekolah yang dikesan melakukan tindakan tersebut.

“Kalau kita dapati (sembunyikan kes Covid-19), tindakan tegas akan diambil, kerana dalam konteks sistem pelaporan KPM, setiap (kes Covid-19) yang berlaku perlu dilaporkan segera supaya kita tahu apa (yang) akan kita dapat lakukan.

“Sebagai contoh di Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, saya sebagai Menteri telah turun ke SSP dua kali, untuk meneliti pendekatan terbaik untuk uruskan (penularan kes),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital – AEON Sayap Bagimu di Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman, Jitra di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohamad Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Didik Negara, Hardian Hadir.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, penularan kes jangkitan Covid-19 membabitkan warga sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat di negara ini masih terkawal.

Bagaimanapun, menurutnya, jumlahnya masih kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan 10,000 sekolah yang ada di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu,  jumlah kluster institusi pendidikan di seluruh negara kini melibatkan sebanyak 21 buah sekolah.

Menurutnya, jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah yang positif Covid-19 adalah seramai 287 orang manakala 179 lagi merupakan murid tadika swasta yang berdaftar di bawah kementerian.

“Melihat kepada konteks lebih luas kita memiliki lebih 10,000 sekolah tidak termasuk sekolah berasrama penuh, kolej vokasional, matrikulasi dan sebagainya, boleh dikatakan keadaan sekarang masih berada dalam keadaan terkawal.

“Bagi kes-kes positif, pihak pejabat kesihatan daerah (PKD) sedang menyiasat secara terperinci termasuk daripada mana puncanya.

Tambahnya, pihak kementerian menasihatkan semua pihak tidak mengambil ringan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) agar  sistem pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan.-UTUSAN ONLINE