IPOH – Keputusan kerajaan menutup semua operasi sekolah bermula esok sehingga hari terakhir persekolahan tahun ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pengusaha kantin dan van sekolah.

Tajuddin Mohd Sharif, 67, yang mengusahakan kantin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di sini berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menghentikan operasi walaupun baru sahaja memulakan perniagaan beberapa bulan lalu.

Malah, katanya, pekerja kantin paling terkesan kerana rata-rata mereka bekerja secara sepenuh masa dan hanya bergantung kepada hasil pendapatan jualan daripada kantin.

“Sebagai majikan, saya sendiri mempunyai enam pekerja dan sampai sekarang masih buntu untuk cari jalan bantu mereka agar tidak terputus pendapatan sepanjang sebulan ini.

“Ini keputusan kerajaan, mahu tidak mahu kita kena patuh juga untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal kepada empat anak, Manisah Soib, 50, yang bekerja menghantar pelajar ke sekolah terpaksa menerima hakikat kehilangan sumber pendapatan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Sejak dua tahun lalu, katanya, dia mengambil upah menghantar 15 pelajar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap di Batu Gajah dengan pendapatan lebih RM500 sebulan.

“Apabila keputusan penutupan sekolah dibuat kerajaan, nampaknya terpaksalah saya cari alternatif lain untuk ganti pendapatan sebelum ini,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah di seluruh negara ditutup bermula esok hingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 dan 18 Disember ini membabitkan lebih lima juta pelajar dan murid.