KUALA LUMPUR, 20 JUN : Industri penerbangan dijangka kembali normal pada tahun 2022 dengan pembukaan semula secara berperingkat perjalanan rentas negeri dan sempadan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau turut menyarankan pelaksanaan dasar yang lebih baik untuk menghindari sebarang gangguan dalam perjalanan sambil menambah kerajaan seharusnya memutuskan apa yang diperlukan untuk membuka sempadan termasuk dokumen diperlukan untuk tujuan perjalanan.

“Saya rasa itu akan dapat diselesaikan menjelang September atau Oktober apabila kita membenarkan perjalanan rentas negeri dan beberapa penerbangan antarabangsa,” kata beliau semasa webinar mengenai ‘Communication Organisational Change Across Culture’.

Webinar itu dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

AirAsia mencatat kerugian bersih sebanyak RM976 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2021, meningkat 2.4 peratus berbanding kerugian bersih dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

Prestasi tahun ke tahun yang lebih lemah itu disebabkan oleh pengurangan pendapatan dan beberapa kos lain termasuk kerugian tukaran asing dan nilai saksama derivatif sebanyak RM157 juta serta kerugian pertukaran bahan api sebanyak RM30 juta.

Pendapatan kumpulan bagi suku pertama tahun ini adalah RM298 juta, naik 12 peratus suku ke suku tetapi menurun 87 peratus tahun ke tahun.

Pendapatan penerbangan jatuh 91 peratus tahun ke tahun disebabkan perjalanan terhad oleh larangan pergerakan yang dikenakan di Malaysia sejak Januari 2021.

Pendapatan bukan penerbangan juga susut 36 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan merekodkan kerugian pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilainya (EBITDA) berjumlah RM217 juta.

Walaupun kumpulan berjaya mengurangkan kos tetap sebanyak 54 peratus, kerugian itu khususnya disebabkan oleh kekurangan pendapatan di tengah permintaan perjalanan yang lemah kerana penutupan dan sekatan perjalanan serta penutupan sempadan antarabangsa.

-BERNAMA