MANJUNG, 24 FEB : Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar, di sini, semalam.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan di Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar, di sini pada jam 6.10 petang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek didapati positif methaphetamine.

“Suspek melakukan kegiatan khianat itu berseorangan dan mendakwa hanya untuk berseronok selepas mengambil dadah.

“Dia mengaku membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar dan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan khayal.

“Lelaki itu mendakwa menyorok di pembahagi jalan dan belakang pokok untuk membaling batu ke arah kenderaan yang melalui kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, polis turut menemui enam ketul batu dalam bakul motosikal suspek.

Katanya, pemeriksaan pada poket belakang seluar suspek turut menemui satu tiub straw berisi ketulan kristal disyaki syabu.

“Suspek bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Ayer Tawar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Berita Harian