KUALA LUMPUR, 6 FEB : Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini.

Kenyataan itu dibuat Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dalam satu pekeliling bertarikh 4 Feb, ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“KPM ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Feb 2021.

“Ini adalah bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Feb 2021,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Habibah, pelajar yang tinggal di asrama sekolah perlu kekal berada di asrama.

Pengecualian diberi kepada pelajar yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, yang dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan 9 Feb ini.

“Namun, kebenaran ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa,” tambahnya.

Sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM, SVM tamat 9 Feb

Habibah berkata, pelajar yang kembali ke asrama selepas perayaan Tahun Baharu Cina akan diasingkan selama 10 hari di asrama, sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Mereka akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh tersebut.

Selain itu, pelajar yang ingin kekal di rumah dibenarkan menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan berhampiran.

“Bagi tujuan itu, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah selewat-lewatnya 9 Feb ini.

“Pihak sekolah hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Ini bagi membolehkan urusan peperiksaan dilaksanakan dengan lancar,” katanya lagi. – AWANI