PETALING JAYA,17 MAC : Meskipun sudah setahun Malaysia berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Kesihatan terus berkhidmat demi negara terutama bagi menangani penularan virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya selaku warga kementerian daripada pelbagai skim perkhidmatan yang berkhidmat di segenap pelosok negara menghargai ucapan penghargaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada petugas kesihatan.

“Setahun telah berlalu dan kami masih berjuang memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara kita. Insya-Allah dengan kepatuhan semua kepada prosedur operasi standard (SOP) kita akan menang,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

PKP mula dilaksanakan di seluruh negara bermula 17 Mac 2020 ekoran penularan Covid-19 sekali gus menyebabkan pelbagai sektor tergendala manakala rakyat kemudian terpaksa hidup dengan keadaan norma baharu.

Dalam tempoh PKP 1.0, sebanyak 67.8 peratus syarikat tiada jualan, 53.4 peratus syarikat tidak mampu bertahan lebih dari dua bulan dan 79.5 peratus perniagaan telah ditutup.

Sektor ekonomi negara juga turut terkesan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham menghargai perhargaan perutusan khas Perdana Menteri mengenai Covid-19 pada 16 Mac 2020 yang ditujukan khususnya kepada petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak itu.

“Sesungguhnya kami semua warga Kementerian Kesihatan daripada pelbagai skim perkhidmatan yang berkhidmat di segenap pelosok negara menghargai ucapan Perdana Menteri dan akan terus berkhidmat untuk negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE