IPOH – Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah menerima Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Negeri 2021 pada 1 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah disampaikan bersempena Sambutan Hari Pekerja 2021 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Anugerah tersebut telah disampaikan Presiden CUEPACS, Adnan Mat di Bangunan Perak Darul Ridzuan dan diumumkan semasa Sambutan Hari Pekerja CUEPACS & MTUC 2021 hari sama.

Pada masa yang sama, Adnan Mat turut menyampaikan Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang CUEPACS 2021 kepada Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS).

“Anugerah-anugerah tersebut merupakan antara 10 anugerah yang diumumkan dan dipilih dari segi menjayakan aktiviti, keupayaan persatuan dan ketokohan dalam pembangunan masyarakat.

“Bertepatan dengan tema ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Sejagat’, Sambutan Hari Pekerja CUEPACS & MTUC 2021 diadakan secara atas talian bagi usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.