IPOH, 18 Jan: Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlaku kerosakan di sekitar kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataan pada Isnin berkata Pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri juga mengarahkan supaya sebarang kerja-kerja di kawasan tersebut dihentikan sementara menunggu hasil siasatan mengenainya selesai.

Semalam, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berharap aktiviti kuari di Hutan Simpan Segari Melintang, Pantai Remis di sini yang berstatus Hutan Simpanan Kekal dapat dihentikan segera.

Timbalan Pengerusi Kuasa Ismady Radzuan berkata aktiviti itu menyebabkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera, yang merupakan antara tarikan pelancongan, kini musnah hampir 90 peratus susulan aktiviti kuari sejak tahun lepas.

Beliau berkata aktiviti kuari itu dijalankan sebuah syarikat kontraktor yang dilantik oleh syarikat milik kerajaan negeri sejak Julai tahun lepas.

Katanya air terjun setinggi 300 meter dengan keluasan lebih sehektar itu tidak dibuka kepada orang awam kerana terletak dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal yang memerlukan permit jika ingin masuk untuk melakukan aktiviti termasuk beriadah.

Ismady berkata Kuasa bersama dengan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan beberapa NGO menggesa pihak berkuasa negeri mewartakan keseluruhan hutan simpan itu sebagai Hutan Taman Negeri.