Kebiasaannya penduduk tempatan di bandar raya ini akan menyebut Ampang, Ipoh jika berbual dengan pengunjung luar, memandangkan namanya sama dengan Ampang di Selangor.

Jika diikutkan, kedua-dua tempat ini mempunyai persamaan secara kebetulan.

Tahukah anda bahawa nama Ampang di Ipoh dan Ampang, Selangor diambil daripada perkataan empangan besar, suatu ketika dahulu.

Difahamkan empangan di Ipoh ketika itu dibina pada tahun 1897, khusus untuk aktiviti penanaman padi di kawasan tersebut (sekarang Ampang).

Empangan di Selangor pula mengikut penceritaan dibina untuk aktiviti perlombongan.

Mengupas lebih lanjut berhubung kisah di Ampang, Ipoh, Suara Perak mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee.

Katanya, walaupun nama lokasi itu sama namun penceritaan sejarahnya berbeza.

“Ampang terletak kira-kira satu batu dari Tambun, nama itu diambil sempena empangan besar di kawasan hulu Sungai Pinji (berdekatan Iskandar Polo) untuk kegunaan aktiviti penanaman padi.

“Sumber makanan itu untuk menampung keperluan di sekitar Lembah Kinta, memandangkan kebanyakan aktiviti ekonomi banyak tertumpu kepada lombong bijih timah.

“Ia (empangan) dibina oleh Toh Muda Wahab, dia merupakan orang nombor dua selepas Panglima Kinta ketika itu.

“Bila ada empangan dan ada aktiviti ekonomi, secara tidak langsung nama Ampang itu pun wujud,” katanya.

Tambahnya, sebelum itu pada tahun 1893 sudah ada kira-kira 2,000 pelombong bijih timah dalam kalangan masyarakat Cina yang tinggal di petempatan tersebut.

Ujar Nor Hisham, kebanyakan mereka yang terlibat dalam penanaman padi di Ampang ketika itu merupakan masyarakat Melayu.

“Boleh dikatakan agak sukar untuk kita lihat kesan tinggalan pertanian padi sekarang, bila aktiviti perlombongan rancak, mereka tukar tanah sawah kepada kawasan lombong.

“Tapi kalau nak diikutkan kawasan di Ampang seperti di Iskandar Polo, di situ memang banyak kebun-kebun dan tanahnya subur… nampaklah kesannya sedikit sebanyak,” katanya.

Penanaman padi bertukar lombong bijih timah

Jelasnya, kewujudan sistem pentadbiran British ketika itu menjadi penyebab aktiviti penanaman padi di Ampang bertukar kepada perlombongan bijih timah.

“Empangan itu asalnya untuk pengairan tanaman padi, namun bila keadaan berubah dan banyak lombong bijih timah wujud, maka ia digunakan bagi aktiviti perlombongan.

“Aktiviti perlombongan di situ berterusan sehinggalah harga bijih timah menjunam dan jatuh.

“Pada tahun 1901 jalan raya dibina antara Ampang dan Tambun, pada peringkat awal hanya ada denai-denai, pada awal abad ke-20 dapat dilihat banyak lombong bijih milik syarikat Cina di Ampang,” katanya.