IPOH, 9 DIS : Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, beliau menempohkan atau menangguhkan sementara persidangan sehingga Rabu hadapan kerana yakin kemelut politik yang berlaku dapat diselesaikan sebelum tarikh tersebut.

Keyakinan itu bersandarkan perkembangan politik semasa serta jaminan yang diberikan oleh parti-parti politik.

Tambahan pula, katanya, dalam sistem demokrasi berparlimen dan parti-parti politik mempunyai gabungan serta kematangan masing-masing, kemelut itu tidak akan berpanjangan.

“Kalau satu lagi pilihan yang ada, kalau tidak ada seperti jaminan, saya tidak rasa selesa dengan jaminan yang diberikan, saya tidak ada keyakinan, maka satu lagi pilihan yang saya ada ialah untuk meminta seorang Ahli Dewan untuk bangun dan membawa usul untuk menangguhkan dewan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Kalau itu berlaku, maka apabila nanti Menteri Besar baru dilantik, dia perlu mendapat perkenan daripada Tuanku, dapat watikah dulu.

“Jika dia mahu memanggil semula sidang, dia kena bagi notis dua minggu daripada itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas sidang Dewan Negeri Perak ditangguhkan pada Rabu.

Terdahulu, ketika persidangan, beliau mengumumkan persidangan ditempohkan atau ditangguhkan sementara sehingga jam 9 pagi Rabu hadapan.

Mohamad Zahir berkata, sidang DUN hanya boleh diadakan selepas dua minggu notis daripada Menteri Besar baharu diterima.

Oleh itu, katanya, disebabkan keadaan yang agak suntuk menjelang hujung tahun, penempohan itu adalah pilihan yang lebih baik dan sesuai.

Jumaat lalu, beliau menangguhkan persidangan sehingga hari ini apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti terhadap undi percaya terhadapnya Menteri Besar.