Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis semalam bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat yang diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Sumber berkata, SPRM memulakan siasatan susulan maklumat dirujuk oleh Presiden Karyawan berhubung isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan persembahan awam atau ‘public performance‘ di mana royalti yang dikutip ini tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

“Satu operasi dijalankan semalam di empat pejabat yang dipercayai terlibat dalam proses kutipan royalti iaitu PPM, RPM, MACP dan PRISM.

“Setakat ini, SPRM sedang mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian. Beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu penyiasatan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen berhubung siasatan ini. Untuk berlaku adil ke semua pihak yang terbabit, semua pihak diminta untuk tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.