KUALA LUMPUR, 14 JULAI : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya satu akta digubal di Parlimen bagi mewajibkan anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan Dewan Negara mengisytiharkan harta masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata ini kerana sehingga kini, tiada sebarang hukuman jelas boleh diambil terhadap mereka yang tidak berbuat demikian.

Beliau berkata pada 2019, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan sesalinan diberikan kepada SPRM.

“SPRM hanya bertindak sebagai penjaga maklumat dalam hal ini. Suruhanjaya kemudian akan memaparkan di Portal Pengisytiharan Harta dalam tempoh tiga bulan selepas diisytihar,” katanya kepada pemberita berhubung pencapaian sektor pencegahan SPRM secara maya di sini semalam.

Katanya sehingga 6 Julai, seramai 97 anggota pentadbiran, 198 Ahli Parlimen dan 39 Ahli Dewan Negara telah mengisytiharkan harta masing-masing manakala enam anggota pentadbiran, 22 Ahli Parlimen dan 26 Ahli Dewan Negara belum berbuat demikian.

Shamshun Baharin berkata buat masa ini, tiada undang-undang khusus berkaitan pengisytiharan harta terhadap pihak terbabit dan SPRM tidak boleh melakukan sebarang pengesahan berhubung dokumen pengisytiharan yang diterima.

“Siasatan hanya dilakukan secara langsung terhadap individu yang dilihat hidup mewah melebihi pendapatannya di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata akta itu boleh digubal dengan merujuk kepada Kod Etika Anggota Pentadbiran di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan pada Januari 2019.

Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang telah mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan pengisytiharan harta.

Shamshun Baharin juga berkata SPRM berjaya meningkatkan tanda aras amalan terbaik dalam usaha memerangi rasuah sehingga mendapat pengiktirafan pelbagai organisasi antarabangsa antaranya Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC), Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) dan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Beliau berkata suruhanjaya itu sentiasa menjadi tempat rujukan dan rakan kongsi pengalaman selain boleh dijadikan model kepada negara yang bercadang menubuhkan institusi pencegahan rasuahnya sendiri.

Katanya SPRM juga menerima pengiktirafan daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah yang memberi penilaian berdasarkan mekanisme semak dan imbang dalam suruhanjaya itu menjalankan tugas secara bebas, telus serta profesional.

— BERNAMA