IPOH, 15 JUN – Khazanah berharga tinggalan sejarah pengangkutan pen­ting negara suatu ketika dahulu khususnya di Perak iaitu sistem rel bakal lenyap apabila beberapa buah bangunan bekas stesen kereta api kini dalam keadaan terbiar.

Bangunan stesen kereta api ini dibina pada penghujung abad ke-19 dan awal abad-20 sejajar dengan kepesatan ekonomi setempat iaitu bijih timah.

Bekas bangunan Stesen Keretapi Tanjung Rambutan misalnya adalah antara empat buah yang masih wujud di Perak selain di Batu Gajah, Tapah Road, Tanjung Malim dan Taiping.

Difahamkan, semua aset-aset dan bekas premis termasuk ba­ngunan lama Stesen Keretapi Tanjung Rambutan kini merupakan kendalian Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sebagai pengurus dan pentadbir bagi aset-aset kereta api.

Setiausaha Persatuan Wa­risan Perak, Nor Hisham Zulkifle berkata, Stesen Keretapi Tanjung Rambutan yang juga menempatkan pejabat pos dan telegraf mula beroperasi sejurus pembukaan landasan kereta api Ipoh ke Tanjung Rambutan pada 1 Jun 1897.

Menurut beliau, stesen tersebut juga merupakan antara bangu­nan terawal di Tanjung Rambutan selepas pekan ini dipindahkan dan terbakar.

“Stesen kereta api ini dibina oleh British yang pada masa itu merancang pembangunan pekan baru Tanjung Rambutan khususnya sebagai mod pengangkutan membawa keluar bijih timah.

“Berbanding Ipoh, perlombo­ngan bijih timah di Tanjung Ram­butan dikuasai oleh orang-orang Melayu dan dikatakan rancangan pembangunan ini berkait rapat dengan penemuan kawasan perlombongan baharu yang menarik minat pegawai-pegawai British,” ujarnya kepada Kosmo!

Perkhidmatan tren di Semenanjung dikendalikan oleh Malayan Railway pada tahun 1947 sebelum dikenali sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 1962.

Bagaimanapun, bangunan stesen kereta api ini tidak lagi digunakan apabila perkhidmatan tren melalui laluan di sini dihentikan pada 2008 dan berpindah ke Stesen KTMB Ipoh.

Ujarnya, penutupan fungsi Stesen Keretapi Tanjung Rambutan menyaksikan bangunan yang mempunyai nilai sejarah besar itu terabai apabila cuma dijadikan kedai makan sebelum ditutup disebabkan wabak Covid-19.

Tambahnya, pihak berwajib sepatutnya mencontohi negara jiran yang menjaga stesen kereta api lama Pang Asok di Thailand sebagai warisan sejarah. -K! ONLINE